Kesemua PATI yang terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita yang berusia lingkungan 24 hingga 48 tahun itu ditahan dalam empat serbuan berasingan yang bermula semalam sehingga hari ini.

Pengarah Jabatan Imgresen Perak, Kamaluddin Ismail berkata, operasi hasil risikan dan maklumat awam itu berjaya melumpuhkan cubaan penyeludupan manusia di sempadan Malaysia-Thailand melalui pintu masuk Pengkalan Hulu–Betong.

Katanya, sindiket berkenaan menggunakan pintu masuk darat di sempadan Malaysia-Thailand sebagai transit untuk keluar secara haram melalui Bukit Berapit di Pengkalan Hulu.

“Tangkapan pertama melibatkan dua lelaki warga tempatan berusia 38 dan 40 tahun bersama seorang lelaki warga India yang cuba meloloskan diri di kaunter kawalan dengan membonceng motosikal bagi mengelak daripada dikesan pegawai Imigresen.

“Berdasarkan siasatan, kedua-dua lelaki tempatan berkenaan berperanan sebagai agen pengangkut bagi membawa keluar PATI,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, serbuan dilakukan di tiga buah hotel di Pengkalan Hulu dan menahan 13 lelaki serta seorang wanita warga India yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, kesemua mereka disyaki dalam proses untuk menyeludup masuk ke Thailand sebagai transit sebelum dibawa ke negara-negara Eropah.

“Ada diantara mereka yang cuba mengaburi pegawai Imigresen dengan mengemukakan indentiti palsu namun taktik tersebut dapat dikesan.

“Siasatan juga mendapati, setiap daripada PATI ini dipercayai membayar RM5,000 kepada ejen yang menguruskan perjalanan mereka untuk proses keluar dari negara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE