Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, suspek tersebut merupakan warganegara Filipina, Khaidal Muksin, 30, dan terlibat dalam sekurang-kurangnya 17 kes pecah rumah serta dua kes samun di tiga daerah iaitu Penampang, Papar dan Kota Kinabalu.

“Daripada 17 kes pecah rumah itu, 10 telah disahkan melibatkan suspek melalui perbandingan cap jari yang positif manakala lima lagi adalah berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mengesannya di tempat kejadian.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, suspek juga aktif dalam kegiatan samun di kawasan yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Chandra berkata, secara keseluruhan nilai rampasan berdasarkan semua kes jenayah yang dilakukan suspek adalah sebanyak RM299,150.

“Ia meliputi sebanyak RM265,150 bagi 15 kes pecah rumah dan RM34,000 bagi kes samun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, pihak polis turut memburu seorang lagi suspek yang dipercayai ketua kumpulan penjenayah yang dianggotai suspek. - UTUSAN ONLINE