NOORZAINY MOHD. NOOR
NOORZAINY

Difahamkan, mangsa yang berusia 41 tahun itu berkenalan dengan lelaki berkenaan di Facebook yang memperkenalkan diri sebagai Vivid Hamad Kim pada minggu lalu.

Tanpa bersua muka dan hanya berhubung secara dalam talian, mangsa yang kini bekerja sebagai operator kilang di sini terpedaya dengan pujukan suspek serta mempercayainya tanpa usul periksa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa sering berhubung dengan suspek melalui aplikasi Messenger di laman Facebook.

"Selepas beberapa hari berkenalan, suspek memberitahu dia sudah menghantar sebuah kereta, wang serta barang perhiasan sebagai hadiah perkenalan dan menyatakan niat mahu mengahwini mangsa.

"Rabu lalu mangsa dihubungi oleh syarikat penghantaran ABC Cargo Company yang menyatakan sekiranya dia mahu mengambil barang tersebut mangsa perlu membayar caj penghantaran berjumlah RM2,450 serta RM5,000 atas alasan ia ditahan oleh pihak kastam," katanya, di sini hari ini.

Menurut Noorzainy tanpa berfikir panjang mangsa memasukkan wang berkenaan ke satu akaun yang diberikan dan melakukan transaksi sebanyak dua kali berjumlah RM 7,450.

"Mangsa sekali lagi diminta melakukan transaksi sebanyak RM 23,000 dan diugut sekiranya gagal berbuat demikian dia akan di dipenjarakan.

"Mangsa berasa takut dan telah menceritakan hal tersebut kepada ahli keluarga dan mangsa yakin dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan," katanya. - UTUSAN ONLINE