Justeru, Ketua Polis negeri, Datuk Seri Rosli Ab. Rahman menafikan dakwaan kononnya polis tidak bertindak dalam kes pende­raan tersebut yang didakwa dilakukan wanita berkenaan pada 2016 terhadap Muhammad Luthhakim, 10, yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kelmarin.

Beliau berkata, polis telah melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan dan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk pertuduhan.

“Tetapi kes ini diklasifikasikan NFA oleh timbalan pendakwa raya, mungkin atas alasan kekurangan bukti,” katanya ketika ditemui dalam majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Ibu pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.

Dalam kejadian kelmarin, Muhammad Luthhakim disahkan meninggal dunia di HTAA dengan beberapa kesan lebam dan kecederaan lama dipercayai akibat didera ibu kandungnya.

Hasil bedah siasat mendapati berlaku pendarahan pada saluran makanan mangsa yang disebabkan salur darah pecah atau ulser pada esofagus akibat berlaku pukulan.

Susulan itu, seorang wanita berusia 29 dan suaminya berusia 30 tahun ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kematian anak mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, pemeriksaan terhadap seorang lagi anak pasangan itu tidak menemukan tanda penderaan fizikal.

Katanya, datuk kanak-kanak terbabit bersetuju untuk menja­ga dan menjamin keselama­tan cucunya itu bermula 10 Julai lalu sehingga 18 Julai ini setelah ibu dan bapanya direman selama se­mi­ng­gu.