Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki sebulat suara memutuskan demikian terhadap Mohd. Hussein Mohd. Kassim, 30, selepas membenarkan rayuan Timbalan Pendakwa Raya, Anas Bashari.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mengarahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 2 Julai 2015.

Hakim Mohtarudin berpendapat rayuan pendakwa raya mempunyai merit selepas berpuas hati hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah pada 28 September tahun lalu, tidak mencukupi.

Mohd. Hussein yang diwakili peguam Rafidi Mohamad, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 4.44 pagi, 2 Julai 2015 di Lot 84, Jalan Titi Idris, Kampung Alor Sentap, Mukim Tualang, Pokok Sena, Alor Setar.

Dia didakwa mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) (ATIPSOM) yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan sebatan. - UTUSAN ONLINE