Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, antara negara yang dikesan aktif menggunakan taktik berkenaan adalah Taiwan, Korea dan Jepun.

“Modus operandi sindiket sudah berubah yang mana jika sebelum ini mereka merekrut orang Malaysia untuk membawa keluar dadah, namun kini sindiket menggunakan warga negara yang ingin dituju.

“Maksudnya jika sindiket cuba membawa dadah ke Taiwan, mereka akan guna orang Taiwan yang dibawa dari negara itu ke Malaysia sebelum menyeludup keluar dadah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-212 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, polis kini meningkatkan pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 terutama melibatkan penumpang yang menaiki penerbangan ke tiga negara tersebut.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang ramai supaya meneliti tawaran kerja yang diterima menerusi aplikasi WeChat dan Whatsapp kerana kebanyakkannya palsu dengan menawarkan ganjaran lumayan.

“Kebanyakan individu yang terpedaya tidak boleh patah balik, mereka terpaksa membawa dadah berkenaan ke lokasi tertentu dan sekiranya berjaya, baru bayaran akan dibuat.

“Justeru kita mahu masyarakat lebih berhati-hati dan tidak mudah menerima sebarang tawaran seperti itu kerana hukuman yang menanti sangat berat,” katanya. - UTUSAN ONLINE