Itu antara taktik premis pelacuran di sekitar Jalan Petaling, di sini yang diserbu sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, operasi bersepadu dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dijalankan terhadap lima buah premis bermula pukul 10.15 pagi.

Menurutnya, dalam serbuan itu, sebanyak 13 wanita warga asing disyaki pelacur berusia 26 hingga 46 tahun ditahan.

“Tangkapan terdiri daripada Indonesia (7), India (4), Sri Lanka (1) dan Bangladesh (1).

"Tiga penjaga premis termasuk seorang warga Bangladesh juga ditahan bagi bantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rusdi berkata, siasatan mendapati lima premis terbabit dijadikan sebagai pusat pelacuran perempuan warga asing dengan bayaran di antara RM40 sehingga RM50.

Jelasnya, premis yang beroperasi secara haram itu pernah beberapa kali diserbu serta dikesan dibuka seawal pukul 8 pagi sehingga 6 petang.

“Polis turut merampas 60 keping kondom, buku 555 (7 keping) serta wang tunai RM1,418.

“Pihak DBKL juga telah membuat perobohan terhadap lima premis tersebut dengan tindakan seperti membuka kunci premis menggunakan mesin pemotong besi, memecahkan dinding bilik pelacuran dan menutup premis serta merta (sealed) di bawah Seksyen 10(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.

Menurut Rusdi, kesemua tangkapan telah ditahan reman bermula sehingga 29 Ogos depan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 373(1)(a) Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39b Akta Imigresen 1959/63.- UTUSAN ONLINE