Jumlah pendapatan itu dianggap lumayan oleh kumpulan warga negara asing tersebut berbanding bekerja di kampung halaman mereka.

Lebih licik mereka yang kebanyakannya berasal dari selatan negara jiran itu disyaki menggunakan pas lawatan sosial sebagai modis operandi untuk masuk dan tinggal di negara ini.

Kegiatan mereka walau bagaimanapun terbongkar dalam serbuan Imigresen negeri di sebuah penempatan warga asing di Felda Chuping di sini, malam tadi.

Dalam serbuan itu, seramai tujuh orang termasuk dua wanita ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah dan tinggal lebih masa.

Pengarah Imigresen negeri, Basri Othman berkata, mereka yang ditahan adalah antara 193 orang warga asing yang diperiksa dalam operasi bermula pukul 11 malam dan berakhir pukul 3.30 pagi.

Kata beliau, kesemua mereka berusia 20-an hingga 50-an yang diperiksa itu disyaki merupakan warga Thailand.

“Kita mengesyaki mereka ini memasuki negara ini untuk bekerja sebagai penoreh getah di kawasan sempadan (Malaysia).

“Ini berikutan hampir 70 peratus yang diperiksa memasuki negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial. Semasa ditahan kesemua warga asing ini sedang tidur,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya menyiasat mereka yang ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah. - UTUSAN ONLINE