Bagaimanapun, taktik lelaki berusia 39 tahun itu terbongkar apabila dia ditahan dalam satu sekatan jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di Lebuh Raya Darul Aman, di sini malam tadi.

Pengarahnya, Isma Suhaimi Sharif berkata, pemilik motosikal jenis Yamaha Nouvo itu didapati menggunakan nombor pendaftaran Honda Wave yang dimiliki individu lain.

Katanya, dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 30-an memberi alasan nombor pendaftaran motosikal Yamaha Ego miliknya ditukar kerana mahu mengelak kesalahan jalan raya dilakukannya daripada dirakam pihak berkuasa.

“Mengikut semakan, nombor pendaftaran motosikal itu bermula dengan abjad KDE tetapi kita mendapati ia telah ditukar kepada KDM dengan mengekalkan empat angka yang sama di bahagian belakang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai operasi itu, di sini malam tadi.

Operasi bersepadu yang bermula pukul 8 malam itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tambah Isma Suhaimi, kedua-dua motosikal itu disita di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan mengemukakan maklumat palsu.

“Kesalahan terbabit serius kerana kita khuatir mereka menggunakan kenderaan itu untuk tujuan lain yang boleh menyusahkan pemilik sebenar nombor pendaftaran itu,” katanya.

Dalam pada itu, pihak AADK turut merampas enam bungkus air ketum di dalam bakul sebuah motosikal ketika pemeriksaan itu dijalankan.

Lima lelaki berusia antara 17 hingga 43 tahun turut ditahan kerana positif MOP dan Methamphetamine dalam ujian saringan air kencing.

Sementara itu, dalam operasi terbabit, sebanyak 359 buah motosikal diperiksa dengan 92 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan terutamanya berkaitan cukai jalan dan lesen memandu. - UTUSAN ONLINE