Pengarah Penguatkuasa kementerian, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pemeriksaan itu membabitkan pemborong dan peruncit.

Beliau berkata, hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 12 kertas siasatan telah dibuka dan sebanyak 1,762 paket gula-gula berkenaan telah dirampas untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana disyaki menjual barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, individu yang terbabit boleh didenda tidak melebihi RM250,000 bagi satu pertubuhan perbadanan. Sebaliknya, bagi peniaga bukan pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iskandar berkata, operasi tersebut dijalankan kerana pihak kementerian menyedari kebimbangan ibu bapa terhadap penjualan secara meluas gula-gula berkenaan dalam kalangan pelajar, yang dijual dengan harga 50 sen.

“Pihak kementerian ingin memberi amaran dan mengingatkan mana-mana peniaga supaya menghentikan segera penjualan gula-gula Ghost Smoke terbabit,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya terdapat mana-mana premis menjual gula-gula berkenaan, ibu bapa dan masyarakat boleh membuat aduan kepada kementerian melalui talian 1-800-886-800, whatsapp ke 019-2794317 atau melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil. - UTUSAN ONLINE