Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T. Subro­maniam berkata, syarikat ter­libat akan disenaraikan untuk audit penuh JKDM dan boleh dikenakan tindakan mahkamah mengikut peruntukan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

“Kami mendapati banyak syarikat yang mengikrar dan menghantar penyata GST-03 kurang tepat serta meragukan sebelum ini. JKDM me­lakukan pendekatan baharu iaitu pematuhan melalui pendidikan fasa satu dengan cara menghantar notis peringatan mesra kepada 62,000 syarikat untuk membuat pindaan terhadap penyata mereka pada Jun lalu.

“Hasil pendekatan itu, setakat 30 November lalu sejumlah 37,000 atau 62.2 peratus da­ripada jumlah yang me­nerima notis peringatan mesra tersebut telah mengemukakan semula penyata yang betul dan selebihnya iaitu 25,000 masih belum berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Duta GST bersama-sama ahli-ahli Dewan Perniagaan Tionghua Segamat di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah JKDM negeri, Mohammad Hamiddan Maryani dan Pengerusi Dewan Perniagaan Tionghua Segamat, Tan Sri Lim Bah.

Subromaniam berkata, pe­n­­­dekatan itu berjaya menyelamatkan RM1.6 bilion hasil negara yang mungkin tidak dapat dikutip sekiranya tiada sebarang tindakan membetulkan penyata tersebut dilakukan.

Katanya, dijangka lebih RM1 bilion tambahan cukai itu mampu dikutip jika 25,000 syarikat terlibat menghantar penyata yang betul dan membuat bayaran sebelum tamat tempoh diberikan.

Tambah beliau lagi, sebelum ini syarikat-syarikat berkenaan diberi tempoh tiga bulan yang berakhir bulan ini untuk membuat pembetulan atau pindaan terhadap penyata GST-03 atau maklumat lain yang didapati tidak sepadan dan mungkin disengajakan atau sebaliknya.