Dalam serbuan dijalankan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira pukul 1 pagi itu, sebanyak 68 pelanggan warga tempatan turut ditahan untuk membantu siasatan.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintenden Azmi Syukor berkata, 19 daripada warga asing yang ditahan dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di premis hiburan tidak berlesen tersebut.

"18 daripada GRO terbabit terdiri daripada wanita warga Vietnam, Thailand dan Indonesia manakala seorang lagi merupakan seorang pondan warga Thailand.

"Dalam serbuan itu, kita turut membuat rampasan wang tunai berjumlah RM1,184 serta pelbagai jenis minuman keras," katanya selepas mengetuai operasi yang berakhir kira-kira pukul 3 pagi itu.

Menurut Azmi, ketika serbuan, kesemua warga asing berusia antara 20 hingga 25 tahun tersebut cuba menyembunyikan diri di sebuah 'bilik rahsia' yang direka khas dalam premis tersebut bertujuan mengelak dari ditangkap.

"Bagaimanapun, hasil kecekapan anggota serta pegawai yang terlibat, kita berjaya mengesan dan menangkap kesemuanya hari ini.

"Semua warga asing dan juga pelanggan yang ditahan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Serdang untuk siasatan lanjut," ujarnya. - UTUSAN ONLINE