Dalam kejadian kira-kira pukul 4.05 pagi itu, pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri berjaya menahan sebuah kereta jenis Proton Wira di Taman Keladi, Sungai Petani sebelum menangkap lima lelaki warga Vietnam yang dipercayai Geng Tebuk. 

Ketua JSJ negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Alatrash Wahid berkata, penahanan lima suspek warga asing itu dibuat susulan dua kes kejadian samun berkumpulan, pecah gudang dan tebuk peti besi simpanan wang serta barang kemas yang dilaporkan pada 27 Jun dan Sabtu lalu.

Katanya, satu pasukan khas telah ditubuh bagi mengesan Geng Tebuk yang aktif melakukan jenayah di Kubang Pasu, Alor Setar, Sungai Petani, Yan dan Baling sejak awal Jun lalu.

“Bertindak hasil siasatan, kita telah menahan sebuah kereta Proton Wira yang didaftarkan atas nama salah seorang suspek bagi membantu siasatan. Dipercayai kesemua mereka baru lepas melakukan kejadian samun pasar raya dan rumah sebelum ditahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita telah merampas pelbagai jenis telefon bimbit, gerusi, ‘grinder’, lebih 70 bilah mata ‘grinder’, pemotong serta pelbagai alat pecah rumah seperti kuku kambing, pemutar skru, tukul, satung tangan dan topeng tutup mulut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mior Farid Alatrash, kesemua suspek yang berusia antara 25 hingga 35 tahun itu mengaku terlibat dalam tujuh kejadian samun dan pecah rumah di negeri ini.

“Kita percaya, lebih banyak kes samun dan pecah rumah akan berjaya diselesaikan susulan penahahan kelima-lima suspek tersebut. Sejak tahun lalu kira-kira 20 kes yang menggunakan modus operandi sama dilaporkan.

“Malah, kita percaya kumpulan yang bertindak secara bergerak ini turut terlibat dalam beberapa kejadian samun di beberapa negeri lain seperti Johor dan Melaka. Mereka ditahan reman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE