Ketua Polis daerah, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek pertama ditahan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 5 Mac lalu sementara empat lagi diberkas di sekitar Lembah Klang pada hari berikutnya.

Menurutnya, hasil daripada serbuan dan tangkapan kesemua suspek berusia 30-an itu, pelbagai barangan elektronik yang disamun ditemukan semula selain rotan, pisau, telefon bimbit, komputer riba dan sebuah Toyota Vios yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Kesemua suspek dipercayai turut terlibat dalam kejadian samun sebuah kedai peralatan elektrik di daerah ini pada 29 Januari lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis daerah di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran juga memaklumkan jumlah kerugian yang dialami semua kedai berkenaan termasuk yang disamun pada 29 Januari lalu dianggarkan lebih RM230,000 dan pihaknya masih memburu seorang lagi suspek yang dipercayai ketua kumpulan berkenaan iaitu Mohd. Yushezry Yusop, 34.

“Berdasarkan siasatan awal kita dapati kumpulan ini menjalankan kegiatan pada hari Ahad dengan ketua kumpulannya merupakan bekas kakitangan kedai peralatan elektrik yang disamun.

“Kesemua suspek yang direman sehingga 23 Mac itu mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah,” tambahnya.

Tambah Wan Kamarul Azran, kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan. - UTUSAN ONLINE