Kedua-dua kumpulan yang menyasarkan warga emas sebagai mangsa itu diberkas dalam tangkapan berasingan hasil maklumat awam dan siasatan polis.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, dua anggota kumpulan samun yang dikenali sebagai Geng Vinod itu ditangkap semalam di Taman Rishah pada pukul 7.15 malam.

Katanya, siasatan mendapati kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 27 dan 28 tahun itu mempunyai enam dan empat rekod jenayah lampau.

“Kumpulan penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang ini ditangkap susulan kes pecah masuk ke sebuah rumah warga emas di Taman Rishah pada 1 April lalu.

“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barang termasuk dua bilah parang panjang, sebilah pisau, tiga buah motosikal dipercayai motosikal curi, tiga buah telefon bimbit dan sebuah beg galas berisi pelbagai jenis pinggan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Mohd. Ali memberitahu, pihaknya turut menumpaskan satu lagi kumpulan samun susulan penahanan dua lelaki berusia 42 dan 56 tahun pada 7 April lalu di Menglembu dan Sungai Siput.

Katanya, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian samun di daerah ini dan sehingga kini pihaknya percaya berjaya menyelesaikan empat kes membabitkan kumpulan sama.

“Kumpulan ini telah melakukan samun bersenjata di sebuah rumah sepasang suami isteri warga emas di Sungai Rokam pada 5 April lalu membabitkan kerugian sebanyak RM20,000.

“Susulan kejadian itu, polis telah melakukan siasatan dan berjaya memberkas tangkapan pertama berusia 42 tahun di Menglembu pada pukul 1 pagi dan tangkapan kedua berusia 56 tahun di Sungai Siput dua jam kemudian,” katanya.- UTUSAN ONLINE