Dalam serbuan pukul 12.20 tengah malam, Harry, 25, diberkas bersama dua lagi rakannya yang masing-masing berusia 30 dan 20 tahun di sebuah restoran di Jalan Pasir Puteh, Melor, di sini.


Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, semasa serbuan dilakukan, salah seorang suspek cuba melarikan diri dengan sebuah kereta Perodua Axia dan melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota polis.


“Bagi mempertahankan diri dan keselamatan orang ramai, anggota telah menembak tayar kenderaan dipandu suspek dan berjaya menahan lelaki tersebut serta dua lagi rakannya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan dinaiki suspek membawa kepada penemuan hasil samun serta peralatan yang digunakan mereka untuk menjalankan kegiatan jenayah.


Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat (FIPA) 1971, Seksyan 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. - UTUSAN ONLINE