Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, lelaki berusia 40 itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada pihak surau yang memaklumkan berhubung kejadian itu.

“Suspek ditahan kira-kira pukul 6.30 petang di sekitar Taman Desa.

“Kami turut merampas satu tukul besi dipercayai digunakan suspek untuk merosakkan barang serta pakaian yang dipakainya ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Roslan, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek memakai kemeja-T berwarna biru dan berseluar pendek warna merah itu dilihat masuk ke dalam surau berkenaan.

Jelasnya, suspek turut dilihat memecahkan beberapa barang di dalam surau itu termasuk mimbar, jam dinding dan papan tanda Ahli Jawatan Kuasa (AJK) menggunakan objek seperti besi.

“Jumlah kerugian dalam kejadian itu dianggarkan kira-kira RM2,000.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah dan mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan dadah serta kes curi,” katanya.

Tambah Roslan, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.- UTUSAN ONLINE