Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 43 tahun itu ditahan antara 30 Okt hingga 4 Nov lepas di sekitar daerah ini.

Katanya, antara yang ditahan ialah seorang mekanik yang dipercayai ketua kumpulan itu, yang baharu dibebaskan daripada penjara atas kesalahan berkaitan dadah pada Ogos lepas.

"Siasatan awal mendapati kesemua mereka ini terbabit dalam lima kes curi kabel di kawasan sekitar Jaya Gading dan FELDA Panching Utara yang membabitkan kerugian kira-kira RM14,000.

Empat daripada suspek turut terbabit dalam dua kes pecah premis kedai perkakasan di Perumahan Pandan Sejahtera 2 pada 10 Okt lalu yang membabitkan kerugian sebanyak RM13,000 bulan lalu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata suspek juga dipercayai memecah masuk kedai yang sama untuk kali kedua pada 24 Okt lalu, yang menyebabkan kerugian sebanyak RM6,000.

Beliau berkata siasatan awal mendapati semua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, dan ujian air kencing yang dilakukan juga positif methamphetamine.

Katanya, polis masih mengesan dua lagi anggota kumpulan itu yang dikenali sebagai Awe dab Bitik bagi membantu siasatan.

Siasatan dikendalikan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk dan Seksyen 431 (a) kanun yang sama kerana melakukan khianat terhadap harta benda awam. - BERNAMA