Menurut beliau, individu tersebut yang menggelarkan dirinya sebagai Pak Hussain berusia lingkungan 50-an kononnya menawarkan pakej pelaburan dipercayai berunsur penipuan kepada beberapa ahli agensi berkenaan.

Beliau berkata, lelaki berkenaan sebelum itu datang ke pejabatnya di Seri Negeri pada 3 Julai lalu memaklumkan kepada kakitangannya untuk menyumbang sebanyak 1,000 unit mesin jahit secara percuma kepada penduduk luar bandar khususnya kaum wanita.

“Dua hari kemudian, lelaki itu mengirim e-mel kepada pejabat surat pelantikan 50 pengusaha kecil AIM sebagai pembekal dan pengedar mesin jahit itu yang dikelolakan oleh Urusetia Korporat Malaysia kepada Jawatankuasa Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar iaitu portfolio saya.

“Pada Isnin lalu, saya dimaklumkan oleh pihak AIM Melaka Tengah bahawa lelaki itu mengadakan sesi taklimat mengajak 48 ahli Sahabat AIM menyertai pakej tersebut yang bertujuan memberi peluang perniagaan kepada mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Negeri di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengurus AIM Melaka Tengah, Shariful Azmei Abdullah dan Ketua Lembaga Perwakilan Sahabat AIM Melaka Tengah, Intan Zunika Hussin.

Mengulas lanjut, Siew Lin berkata, antara syarat dikenakan oleh Pak Hussain itu adalah setiap ahli perlu membayar pendahuluan sebanyak RM2,000 di mana mereka bakal memperolehi pulangan sebanyak RM40,000.

Beliau berkata, berikutan kegiatan individu berkenaan yang menyalahgunakan nama serta jawatankuasa portfolionya, pihaknya akan membuat laporan polis dalam tempoh terdekat supaya siasatan dapat dilakukan terhadap lelaki itu. - UTUSAN ONLINE