Kegiatan kumpulan itu ba­gaimanapun kecundang setelah enam anggotanya diberkas polis pada 11 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Muhamad Halim Yatim berkata, enam suspek termasuk ketua geng itu ditahan di sebuah rumah sewa di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani kira-kira pukul 8 malam.

“Kita berjaya mengesan semua suspek selepas kereta jenis Honda Accord yang digunakan oleh tiga daripada mereka ketika memecah sebuah kereta di Masjid Abdul Rahman Putra di Pekan Sungai Yan pada hari sama melalui ka­mera litar tertutup (CCTV).

“Mangsa merupakan seorang pesara guru lelaki berusia 62 tahun dan dia mengalami kerugian kira-kira RM3,000 membabitkan kehilangan sejumlah wang tunai termasuk mata wang Kemboja dan barang berharga lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, di sini hari ini.

Kata Muhamad Halim, dalam tangkapan itu, pihaknya berjaya merampas mata wang Kemboja sebanyak KHR3,000 (riel Kemboja) milik pesara guru terbabit, telefon bimbit dan jaket yang dipercayai digunakan untuk memecahkan kereta mangsa.

“Semua suspek berusia 19 hingga 41 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine selain semua mereka kecuali suspek wanita ber­usia 19 tahun memiliki rekod jenayah dan dadah lampau,” katanya.

Menurutnya, modus operandi geng itu adalah menyasarkan kereta yang diletakkan jemaah masjid semasa solat subuh.

“Kebiasaannya dua hingga tiga anggota geng akan bergerak ke masjid sebelum dua daripada mereka berpura-pura solat bersama jemaah lain manakala selebihnya menunggu di kereta untuk mencari sasaran.

“Dua yang masuk ke dalam masjid akan memastikan semua jemaah mula menunaikan solat subuh sebelum keluar dan bertindak memecahkan cermin kereta menggunakan serpihan palam pencucuh,” katanya.

Beliau berkata, penahanan anggota Geng Subuh itu berjaya menyelesaikan empat kes pecah kereta dalam kawasan masjid pada waktu subuh membabitkan jumlah kerugian antara RM10,000 hingga RM12,000 sejak pertengahan tahun lalu.

“Semua suspek direman bermula 12 Mac lalu hingga Rabu ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.