Ketua Polis SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Hamid berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Kota Permai, di sini kira -kira pukul 9.45 malam tadi, anggotanya menahan tiga lelaki yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah.

Ujarnya, kesemua mereka yang masing-masing berusia 28, 21 dan 22 tahun ditahan ketika berada di ruang tamu rumah berkenaan.

“Pemeriksaan menemukan satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 22 gram dan satu botol kaca yang telah diubah suai disyaki untuk kegunaan menghisap dadah.

“Ujian air kencing yang diakukan mendapati kesemua mereka positif dadah jenis berkenaan," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Nik Ros Azhan memberitahu, dalam operasi cegah jenayah pada pukul 7.45 malam di dalam kebun kelapa sawit di Machang Bubuk, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 53 tahun.

Katanya, pemeriksaan menemukan satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi 16 keratan penyedup minuman yang disyaki dadah jenis heroin seberat lapan gram.

“Semakan enjin motosikal yang digunakan suspek pula mendapati ia mempunyai kaitan dengan kes kenderaan hilang di Perai manakala lelaki itu didapati positif dadah," katanya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seskyen 39A (1) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya. - UTUSAN ONLINE