Keempat-empat suspek yang ditahan Unit Operasi, Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Imigresen itu berusia antara 27 tahun hingga 34 tahun.

Pengarah Bahagian Operasi dan Pendakwaan Imigresen, Saravana Kumar berkata, kesemua suspek dicekup selepas berurusan dengan seorang majikan bagi melepaskan pekerja asing yang ditahan mereka.

Katanya, hasil siasatan mendapati keempat-empat suspek tersebut yang turut menggunakan gari serta pakaian seragam Imigresen menjalankan operasi haram dengan menangkap pekerja asing.

“Suspek kemudian meminta suapan daripada majikan pekerja asing berkenaan sebagai bayaran untuk melepaskan mereka.

“Kami percaya keempat-empat suspek sudah beberapa kali menjalankan kegiatan berkenaan dengan menyasarkan pekerja asing yang bekerja di kedai runcit," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Saravana berkata, semua suspek yang ditahan sudah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

“Dalam setiap operasi penguatkuasaan Imigresen, ketua operasi perlu memperkenalkan diri serta mengemukakan kad kuasa kepada pemilik atau penghuni premis sebelum pemeriksaan dijalankan.

“Malah, tiada istilah bayaran kompaun atau denda diminta atau dikenakan oleh pegawai operasi di lapangan," jelasnya. - UTUSAN ONLINE