Itu kegiatan yang dilakukan tiga pegawai Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan seorang pengarah sebuah syarikat yang disyaki terlibat dalam penyelewengan wang per­untukan dalam mengendalikan program-program latihan kemahiran kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

Tiga pegawai PTPK yang ditahan terdiri daripada ketua eksekutif bergelar Datuk yang berusia 58 tahun, setiausaha, 34, dan penolong pegawai kewangan, 32.

Menurut sumber, kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur kira-kira pukul 4.30 sehingga 6 petang ini dalam satu operasi yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ujarnya, ketiga-tiga pegawai PTPK tersebut dipercayai telah bersubahat dengan pengarah syarikat terbabit yang bergelar Doktor untuk menyeleweng wang yang telah diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan untuk mengendalikan program latihan tersebut.

“Bagi menjalankan program tersebut, kerajaan telah memperuntukkan RM35 juta pada 2016 manakala RM40 juta lagi pada tahun ini.

“Namun, siasatan awal mendapati pada tahun 2016, mereka te­lah menyeleweng sebanyak RM15 juta manakala RM25 juta pada tahun ini dan menjadikan dana yang diseleweng berjumlah RM40 juta,” katanya di sini hari ini.

Sumber itu menambah, ketiga-tiga pegawai PTPK terlibat turut dikatakan telah berpakat dengan pengarah syarikat tersebut dengan meluluskan 15 syarikat miliknya untuk mengendalikan program-program berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, pihaknya sedang mendapatkan dokumen-dokumen melibatkan penyelewengan itu.

Beliau memberitahu, pihaknya akan memanggil saksi-saksi untuk mengambil keterangan dalam masa terdekat dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditangkap untuk membantu siasatan.

“Kita akan menyiasat kes ini secara terperinci dan mengenal pasti saksi-saksi yang perlu dipanggil untuk tampil membantu siasatan dalam masa terdekat,” katanya.