Tinjauan Utusan Malaysia sejak pukul 10 pagi sehingga 12 tengah malam tadi mendapati, lebih 10 kali pergerakan kenderaan bernombor pendaftaran kedutaan itu keluar masuk dari kediaman tersebut namun kelibat Kang Chol tidak kelihatan dalam setiap kenderaan terbabit.

Setiap pergerakan tersebut dipantau rapat oleh setiap wakil media yang menanti di luar pagar bangunan tersebut bagi mendapatkan kenyataan daripada pihak kedutaan.

Kira-kira pukul 6 petang tadi, bekas Duta Besar Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ri Tong Il, yang bertindak sebagai jurucakap rasmi negara itu dilihat meninggalkan kediaman tersebut bersama tiga lagi lelaki dengan menaiki kereta Toyota Alphard.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh kedutaan tersebut sehingga kini.

Difahamkan, Kang Chol akan meninggalkan negara ini esok petang.

Semalam, media melaporkan Malaysia mengambil tindakan tegas dengan mengisytiharkan Kang Chol sebagai persona non grata (orang yang tidak dihargai) dan mengarahkan pegawai berkenaan meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.

Keputusan itu diumumkan menerusi satu Nota Diplomatik yang dihantar kepada Kedutaan Besar Korea Utara selepas Kang Chol dan pegawai kanan dari kedutaan itu tidak hadir untuk bertemu Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nushirwan Zainal Abidin di Wisma Putra di Putrajaya.-UTUSAN ONLINE