Dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu, polis menemukan tiga paket lutsinar dadah jenis heroin seberat 17.93 gram dan syabu seberat 0.18 gram bernilai RM450 di ruang tamu rumah berkenaan.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan bersama janda berusia 25 tahun yang juga teman wanitanya bersama-sama seorang lagi kenalan mereka yang juga berstatus janda berusia 44 tahun.

Menurut beliau, operasi dilakukan berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dilakukan berhubung kegiatan pengedaran dadah membabitkan tiga orang suspek terbabit yang aktif sejak sebulan lalu sehingga membimbangkan penduduk.

“Ketika serbuan, mereka yang sedang duduk bersila di atas lantai ruang tamu rumah itu tergamam dan tidak sempat melarikan diri. Pemeriksaan di dalam beg coklat di atas lantai kemudian menemukan tiga paket plastik lutsinar dadah heroin dan syabu sebelum mereka ditahan untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, rumah itu juga dijadikan tempat mereka melepaskan gian sambil dadah yang baru diperoleh akan dibungkus semula untuk dijual kepada penagih di Kubor Panjang dan kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Arriz Sham berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek lelaki yang hanya bekerja kampung memiliki empat rekod berkaitan dadah, manakala kedua-dua wanita yang juga penggangur masing-masing memiliki satu kesalahan lampau mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ujian air kencing terhadap ketiga-tiga mereka mendapati kesemuanya positif morfin dan methamphetamine dan kini direman seminggu bermula hari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE