Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kedua-dua suspek terdiri daripada seorang wanita berusia 30-an dan lelaki berusia 40-an yang dikesan membawa masuk dadah yang dilekatkan di badan mereka ketika memasuki lapangan terbang berkenaan.

“Saya difahamkan kedua-dua suspek tersebut sudahpun didakwa, namun siasatan oleh Polis Persekutuan Australia (AFP) terhadap kes itu masih berjalan sehingga kini.

“JSJN juga akan bekerjasama dengan pihak Australia berikutan kejadian ini melibatkan warga Malaysia,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Tambah Mohmad, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Malindo Air dalam masa terdekat memandangkan banyak kejadian melibatkan penyeludupan serta penyalahgunaan dadah yang melibatkan kakitangannya dilaporkan sejak akhir-akhir ini.

Sementara itu, Malindo Air dalam satu kenyataan berkata, pihaknya masih belum dapat menghubungi kru kabin yang ditahan sejak 7 Januari lalu.

“Malindo Air bersedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa Australia mahupun Malaysia berhubung perkara ini, malah, kru kabin terlibat sudahpun digantung pekerjaan serta merta.

“Sebagai sebuah syarikat penerbangan antarabangsa yang bertanggungjawab, Malindo Air tidak sekali-kali menyokong perbuatan jenayah ataupun salahlaku mana-mana kakitangan kami,” katanya.

Terdahulu, media Australia ABC melaporkan AFP dan Polis Victoria berjaya menumpaskan sindiket dadah menggunakan kru kabin susulan penahanan lapan termasuk dua wanita dalam tempoh 10 hari.

Menurut laporan tersebut, pihak polis menerusi operasi ‘Sunrise’ yang melibatkan AFP, Pasukan Sempadan Australia dan Suruhanjaya Perisikan Jenayah Australia itu turut merampas dadah jenis heroin, methamphetamine dan kokain yang dianggar bernilai AUD21 juta (RM62 juta). - UTUSAN ONLINE