Tertuduh mulanya menghadapi pertuduhan yang memperuntukkan hukuman gantung kerana membunuh bekas isteri dan anak tirinya pada 2016.

Pesuruhjaya Kehakiman Bexter Agas Michael menjatuhi hukuman penjara 20 tahun ke atas Bakri Rukka, 49, selepas mendapati dia tidak mempunyai niat untuk membunuh Hasura Sima, 36 dan Mohd Basri Jamaluddin, 24, di kuarters pekerja Permodalan 1, IOI estate di Kinabatangan, masing-masing kira-kira pukul 5.20 pagi dan 5.21 pagi, pada 11 Januari 2016.

Mahkamah kemudian memerintahkan Bakri menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap pada 11 Januari 2016.

Tertuduh dibicarakan pada 19 Ogos 2017 hingga 7 Septemper tahun lalu dan diperintahkan membela diri pada 30 Januari tahun ini.

Dalam kes lain, Bexter melepaskan dan membebaskan seorang lagi lelaki warga Indonesia daripada tuduhan membunuh rakan senegaranya di Ladang Genting, Pulau Jambongan di Beluran kira-kira pukul 7.50 pagi pada 12 Oktober 2016.

Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas Ignasius Subun, 34 kerana membunuh Yohanes Nino, 31, tanpa memanggil Ignasius membela diri selepas perbicaraan yang berlangsung dari 6 November 2017 hingga 16 November tahun lalu.

Bakri dan Ignasius diwakili oleh peguam Farazwin Haxdy, yang dilantik oleh Konsulat Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu sementara pendakwaan dijalankan oleh timbalan pendakwa raya Franklin Ganggan Bennet. - BERNAMA