Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, tangkapan pertama dilakukan terhadap seorang lelaki berumur 43 tahun yang juga merupakan bekas suami kepada isteri mangsa.

"Tangkapan kedua dilakukan pada pukul 2.15 pagi di Taman Tun Dr. Ismail terhadap isteri mangsa yang berumur 43 tahun, bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan kes yang disiasat sebagai mati mengejut itu diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas polis mendapat keputusan bedah siasat dan laporan bomba.

Pada 14 Jun lalu, Nazrin maut selepas terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur rumah teres dua tingkat beliau di Mutiara Damansara akibat terhidu asap berpunca daripada letupan telefon bimbit milik mangsa. - UTUSAN ONLINE