Kedua-dua suspek berusia 30 dan 48 tahun itu ditahan dalam operasi berasingan di dua buah rumah antara pukul 11 pagi dan 7 petang.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas sejumlah tumbuhan kering disyaki ganja bernilai hampir RM60,000 yang disimpan oleh kedua-dua suspek.

“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Permatang Tinggi B, polis menahan seorang suspek yang bekerja sebagai penjual kebab dan merampas daun kering disyaki ganja yang dibungkus di dalam plastik lutsinar seberat kira-kira 340 gram.

“Selepas itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Bertam Indah di sini dan merampas sejumlah plastik lutsinar mengandungi daun kering disyaki ganja seberat kira-kira satu kilogram serta menahan suspek yang bekerja sebagai buruh,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan positif ujian urin itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati kesemua dadah berkenaan yang sebahagiannya dibungkus dalam pek kecil dipercayai akan dipasarkan kepada penagih dadah di kawasan Seberang Perai.

“Mereka dipercayai melakukan kegiatan ini sejak kira-kira tiga bulan lalu dengan menjual setiap bungkusan plastik lutisnar itu pada harga antara RM30 hingga RM50 dan bekalan bahan ini diperoleh dari kawasan Utara,” katanya.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE