Dua lelaki warga tempatan berusia 36 dan 38 tahun itu ditahan kira-kira dua jam selepas melakukan perbuatan tersebut di perhentian bas di Seksyen 8.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kejadian berlaku pukul 8.15 pagi, apabila salah seorang daripada mangsa menyedari 13 pasang kasutnya hilang dan memaklumkan kepada jirannya.

Menurut Shafien, jiran mangsa telah melakukan pemeriksaan dan mendapati beberapa pasang kasutnya juga turut hilang.

"Bertindak atas laporan, pasukan siasatan jenayah telah melakukan rondaan dan terjumpa dua lelaki mencurigakan di perhentian bas di Seksyen 8.

"Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku telah mencuri kasut di kediaman tersebut. Suspek mengaku memasuki ke kawasan rumah dengan cara memanjat pagar rumah dan mencuri kasut yang berada di kawasan rumah tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelas Shafien, pihaknya telah merampas dua beg galas berisi pakaian dan kasut milik kedua-dua suspek.

"Bagaimanapun, kasut yang dicuri suspek telah diserahkan kepada dua lagi rakannya yang masih bebas.

"Pemeriksaan rekod lampau terhadap suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi, sementara seorang lagi mempunyai rekod berkaitan judi," ujarnya.

Tambahnya, pihaknya sedang memburu dua rakan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tiga hari.-UTUSAN ONLINE