Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, suspek yang memakai topi keledar menutup muka dengan bersenjatakan sebatang kayu bertindak menyerbu masuk dan terus mengugut seorang pekerja yang berada dalam premis berkenaan.

Kedua-dua lelaki terbabit kemudian melarikan wang tunai berjumlah RM30 dari dalam mesin juruwang dan beberapa kotak rokok pelbagai jenis yang dianggar bernilai RM50 dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125z.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, suspek yang cuba melarikan diri itu kemudian terserempak dengan sepasukan anggota yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

“Apabila anggota itu melihat suspek menunggang motosikal dalam keadaan yang mencurigakan maka mereka bertindak menahan suspek untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan polis menemui rokok pelbagai jenis dan wang tunai di dalam beg sandang salah seorang dari suspek yang dipercayai hasil samun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, siasatan juga mendapati salah seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau kerana memiliki barang curi serta ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.

“Kita percaya dari tangkapan suspek yang masing-masing berusia 18 dan 19 tahun, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurang tujuh kes samun kedai serbaneka di sekitar daerah ini,” ujarnya.

Ahmad Dzaffir menjelaskan, kedua-dua suspek kini direman empat hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 kanun yang sama. - UTUSAN ONLINE