Kedua-dua remaja lelaki berusia 15 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Iriane Isabelo.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh juvenil  itu masing-masing didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan satu di dewan terbiar, Kota Warisan dan di tandas perempuan, sebuah pusat beli-belah di  Selayang dekat sini pada Julai dan 20 September lalu.

Kedua-dua remaja lelaki berkenaan yang masih bersekolah itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Bagaimanapun, prosiding kes itu dijalankan secara tertutup kerana ia melibatkan juvenil. Hanya keluarga tertuduh dibenarkan berada di dalam mahkamah.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar manakala kedua-dua remaja itu tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 November ini untuk sebutan kes.

Difahamkan, mangsa merupakan anak kepada seorang penggiat seni. - UTUSAN ONLINE