Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, terdapat empat kru berada di atas kapal itu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan berkenaan.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, penculikan itu dipercayai dilakukan kumpulan penculik untuk tebusan (KFR) yang bertopeng dan bersenjatakan senapang jenis M16.

“Kami percaya suspek telah membawa mangsa ke satu lokasi yang masih belum dikenalpasti.

“Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan pihak polis termasuk mengesan identiti suspek,” katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Omar berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menolak kumpulan itu terbabit dengan kegiatan Abu Sayyaf. - UTUSAN ONLINE