Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, seorang pekerja restoran terbabit telah didatangi dua lelaki terbabit bersenjatakan parang dan memakai topeng penuh sebelum bertindak melarikan mesin juruwang.

“Kedua-dua mereka berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM500 dan bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“Susulan kejadian samun tersebut, satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menjejaki dan memburu dua suspek terbabit,” katanya di sini hari ini.

Tambah Hamzah, hasil maklumat dan risikan yang dilakukan, salah seorang daripada suspek telah ditahan Selasa lalu di Taman Dagang manakala rakannya pula ditahan di kawasan Jalan Sungai Tekali, Pekan Batu 14, Ulu Langat, Selangor semalam.

“Hasil tangkapan itu, pihak kita telah menemukan pakaian, sebilah parang dan mesin juruwang hasil daripada kegiatan samun yang dilakukan mereka. 



“Kedua-dua suspek berusia 33 dan 36 tahun itu kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE