Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, dua suspek lelaki tersebut melarikan diri dengan menaiki motosikal setelah diminta memberhentikan kenderaan itu oleh anggota polis di Jalan Slim berhampiran Flat Sri Perak, Jelutong di sini.

Ketua Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dua suspek tersebut melarikan diri dengan menunggang motosikal melawan arus dan anggota polis telah mengejar mereka melalui Jalan Van Praagh, Jalan Lenggong, Jalan Jelutong, Jalan Sungai Pinang, Jalan Gurdwara, Lebuh Nordin dan melalui Jalan Dr. Lim Chong Eu.

“Semasa sampai di Lebuhraya Dr. Lim Chong Eu, pembonceng mencampakkan topi keledar manakala penunggang motosikal telah mencampakkan disyaki sepucuk pistol jenis Walther berwarna perak.

“Suspek meninggalkan motosikal di tepi jalan dan melarikan diri ke kawasan tepi sungai dan hilang dari pandangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE