Dua suspek berkenaan adalah seorang pengarah urusan yang berusia 53 tahun manakala seorang lagi merupakan penasihat pembangunan perniagaan dan pemasaran strategik anak syarikat Felcra itu yang berusia 45 tahun.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah tahanan selama lima hari terhadap kedua-dua suspek itu sehingga 23 September ini.

Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Difahamkan, suspek yang berusia 53 tahun ditahan pada pukul 6.20 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM di sini manakala suspek berusia 45 tahun tersebut diberkas di pejabat SPRM Kelantan pada pukul 5.40 petang semalam, masing-masing selepas hadir memberi keterangan.

Semalam, SPRM menyerbu sebuah pejabat anak syarikat Felcra Berhad di Setapak serentak dengan sebuah pejabat anak syarikat terbabit di Kelantan serta 10 pejabat syarikat itu yang menerima lantikan kontrak latihan di sekitar Pantai Timur, Lembah Klang dan Perak.

Menurut sumber, serbuan itu dilakukan berhubung dakwaan berlaku salah guna kuasa oleh pengarah urusan di anak syarikat Felcra terbabit dengan melantik kira-kira 10 syarikat luar dipercayai mempunyai kepentingan kepada dirinya selain dipercayai memanipulasi sebut harga.

“Individu berusia 53 tahun itu didakwa melantik syarikat-syarikat luar yang dimiliki oleh anggota keluarga termasuk anak menantu dan kenalannya untuk membekalkan tenaga pengajar, pakar latihan serta kursus yang dikendalikan oleh anak syarikat Felcra terbabit,” kata sumber itu. - UTUSAN ONLINE