Mereka dikatakan mengutip wang suapan daripada tauke bot sebagai balasan melepaskan bot  yang menceroboh perairan negara dengan memasukkan habuan ke beberapa akaun individu lain untuk diberikan kepada pegawai berkenaan.

Permohonan reman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  dijalankan berasingan di Mahkamah Sesyen 1 di sini di sini dan Mahkamah Majistret Kemaman.

 Permohonan reman pengusaha bot itu dilakukan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Wan Aziantie Wan Ab. Karim di Mahkamah Sesyen 1 di sini manakala seorang lagi di hadapan Majistret Badrul Munir Mohd. Hamdy di Mahkamah Majistret Kemaman.

Pengusaha bot berumur 55 tahun dan lelaki yang bekerja sendiri berusia 40 tahun itu masing-masing ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM di sini dan di Kemaman semalam.

Dalam kes berkaitan, seorang pegawai Maritim Malaysia yang berumur 37 tahun turut direman selama tujuh hari bermula semalam selepas permohonan reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Kemaman.

Suspek ditahan kerana dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM4,000 hingga RM9,000 daripada tauke-tauke bagi melepaskan setiap bot yang ditahan.

Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan SPRM di bawah Seksyen 17(a) SPRM 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.- UTUSAN ONLINE