Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim V. Pannir Selvan berkata, aset agensi itu yang sedang menjalankan rondaan mengesan dua buah bot nelayan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan disyaki dari Vietnam di lokasi lebih kurang 38 batu nautika Timur Laut dari Tanjung Gemok.

“Hasil pemeriksaan, bot berkenaan disyaki menggunakan nombor pendaftaran tempatan JHF 7772 dan JHF 1004 membawa ikan campur serta yang dianggarkan seberat hampir dua tan, dipercayai diperolehi dalam perairan Malaysia.

“Hasil tangkapan itu juga dipercayai dibawa keluar untuk dijual di negara asing dengan harga yang lebih tinggi dan keseluruhan barang rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM2 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

V. Pannir berkata, kesemua 22 nelayan Vietnam berusia lingkungan 18 hingga 52 tahun dan bot ditahan serta diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokuman pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan negata tanpa kebenaran.

Beliau dalam pada itu berkata, sehingga hari ini, Maritim Malaysia negeri telah melakukan hampir 217 pemeriksaan dan enam tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan.

“Orang ramai disaran dapat memberi kerjasama dan bersama-sama membantu dalam menangani sebarang aduan kesalahan atau jenayah di perairan negara dengan menghubungi Talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345,” katanya. - UTUSAN ONLINE