Bagaimanapun tertuduh, Zarina Murni Mohd. Hashim,40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, Zarina yang menjalankan perniagaan nasi lemak itu didakwa mengabaikan anaknya berusia 14 tahun di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Kampung Gial, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGM), Nur Diyana Ab Shukor.

Mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, anak sulung tertuduh berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adiknya itu.

Remaja tersebut bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Norhayati Ibrahim.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adiknya menggunakan sebatang ‘soldering iron’, paip getah dan penyangkut plastik di lokasi yang sama pada pukul 6 pagi, 1 Julai lalu.

Remaja tersebut didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, remaja yang mempunyai masalah pembelajaran itu telah disimbah dengan air panas, dipukul dengan buluh selain dibiarkan tidur di luar rumah.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu bagaimanapun terbongkar selepas seorang individu telah berkongsikan mengenai penderitaan remaja perempuan berusia 14 tahun itu melalui ciapan di laman Twitternya semalam sehingga menyebabkan perkongsian itu tular dan mendapat perhatian ramai.- UTUSAN ONLINE