Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas bot yang dinaiki 19 PATI warganegara Vietnam ditahan dalam operasi kerjasama Maritim Malaysia Zon Mersing dan Maritim Negeri Pahang di kedudukan 3.3 kilometer dari Tanjung Kempit, Endau, 30 Januari lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim V. Panner Salvan berkata, suspek bernama Nguyen Hai Au dipercayai melarikan diri setelah mengetahui bot nelayan tempatan yang digunakan untuk menyeludup keluar PATI itu ditahan pihak berkuasa.

"Hasil soal siasat ke atas 19 PATI itu telah membawa kepada penahanan seorang wanita dipercayai tekong darat yang disyaki menjalankan aktiviti memalsukan dokumen dan menguruskan perjalanan PATI pulang ke negara asal.

"Suspek itu kemudiannya ditahan pada 3 Feb lalu pada pukul 10.15 pagi di Taman Cemerlang 2, Tanjung Gemok, Rompin, Pahang. Serbuan dilakukan menemukan 26 pasport milik warganegara Vietnam, 54 buku pelaut negara Vietnam, kelengkapan pemalsuan cap serta dokumen mencurigakan.

"Sindiket ini juga dipercayai didalangi oleh seorang lelaki bernama Nguyen Hai Au yang kini sedang melarikan diri. Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung suspek diminta menyalurkan maklumat kepada Zon Maritim Mersing di talian 07-798 2529 (pusat operasi)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.- UTUSAN ONLINE