Perintah reman terhadap mereka yang masing-masing berusia 33 tahun dan 22 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Temerloh, Hayatul Hafifie Hisham.

Semalam, dua wanita berkenaan ditahan polis di Shah Alam, Selangor bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, tangkapan itu ekoran laporan polis oleh seorang peniaga di Temerloh yang berasa ditipu berhubung pakej umrah ditawarkan sebuah syarikat agensi pelancongan dan seorang wanita yang menguruskannya.

“Pada 21 November tahun lalu, mangsa ditawar menunaikan umrah dengan sebuah syarikat agensi pelancongan yang dikendalikan oleh seorang perempuan. Perempuan itu memaklumkan sebahagian perbelanjaan umrah akan ditanggung oleh penaja yang berpangkat datuk berjumlah RM 5,000 dan peserta Jemaah hanya akan bayar RM 2,200 seorang.

“Pada 27 November tahun lalu, mangsa telah memasukan wang bayaran umrah RM2,200 ke dalam akaun diberikan dan mengikut ejennya, peserta umrah dijangka berlepas pada 1 Disember tahun lalu. Pada pertengahan bulan Disember, mangsa diberitahu bahawa umrah telah di tunda pada 20 Disember 2018,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mohd. Wazir berkata, pada 19 Disember tahun lalu, ejen agensi pelancongan terbabit menyatakan sesiapa yang ingin menarik diri boleh berbuat sedemikian dan wang akan dikembalikan dalam masa tiga minggu.

“Sehingga hari ini mangsa masih belum mendapat kembali duit tersebut dan pada pertengahan bulan Januari lalu pasport berserta gambar dua keping milik mangsa telah dikembalikan. Mangsa mendapat makluman wangnya akan dikembalikan pada 14 Mac lalu tetapi sehingga kini mangsa masih belum menerima wang tersebut,” katanya.

Jelasnya, berasakan dirinya ditipu, mangsa baru-baru ini membuat laporan polis di Ibu oejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE