Serbuan itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN negeri, Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN) Kedah serta dua agensi kawalan dadah dari Thailand.

Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata, antara lokasi serbuan itu adalah Bayan Baru, Jelutong, Jalan Lengkok Perak, Georgetown serta Taman Island Glades di Gelugor di sini.

Menurut beliau, dalam serbuan yang bermula pada kira-kira pukul 6.15 petang itu, sebanyak 473 bungkusan teh Cina berisi 506 kilogram (kg) dadah disyaki syabu dan 13 bungkusan mengandungi 26,000 biji pil disyaki ekstasi bernilai RM26.1 juta dirampas.

Beliau berkata, pada masa sama, polis turut menahan empat suspek dipercayai anggota sindiket dadah tersebut berusia dalam lingkungan 35 hingga 59 tahun.

“Dua daripada suspek itu positif dadah jenis methamphetamine (syabu) dan ke­semua mereka juga mempunyai rekod lampau termasuk berkaitan dadah.

“Polis juga menyita tiga buah kende­raan iaitu masing-masing sebuah Volkwagen Golf, Proton Waja dan Proton Wira selain wang tunai bernilai RM20,000, pelbagai barangan kemas serta seutas jam tangan daripada suspek dengan kese­luruhan bernilai RM147,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Chez Chiang memberitahu, dadah tersebut dipercayai diseludup masuk melalui sempadan negara terutama dari Thailand untuk pasaran tempatan serta antarabangsa.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan negeri ini dijadikan sebagai pusat transit untuk tujuan berkenaan.

“Ketika ini, polis masih mengesan jika terdapat saki-baki anggota sindiket yang terlibat dan mengenal pasti berapa lama mereka sudah beroperasi,” kata­nya.

Menurut beliau, kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.