Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Pang Jin Lai berkata, tangkapan pertama melibatkan sepasang suami isteri berusia 38 dan 32 tahun pada 29 Mei lalu.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan semasa menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC di hadapan rumah mereka di Taman Bakawali di sini kira-kira pukul 3 petang.

“Suspek lelaki cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditahan. Pemeriksaan ke atas beg silang dan beg tangan mereka menemukan kira-kira 58.01 gram dadah dipercayai jenis syabu bernilai RM9,000.

“Hasil ujian saringan air kencing mereka didapati positif meth dan kedua-duanya memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jin Lai berkata, dalam operasi kedua, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di dalam sebuah kereta Perodua Myvi di tempat letak kereta Kota Seriemas Golf and Country Club dekat sini kira-kira pukul 3 petang pada 30 Mei lalu.

Kata beliau, pemeriksaan ke atas kereta itu menjumpai kira-kira 195 gram dadah dipercayai heroin dan susulan itu polis memeriksa rumah suspek di Setia Ecohill, Semenyih, Selangor.

Katanya, pemeriksaan di rumah itu menemukan kira-kira 197 gram dadah dipercayai heroin dan polis turut menahan isteri suspek berusia 31 tahun yang berada di rumah berkenaan.

Katanya, nilai dadah yang dirampas daripada pasangan itu berjumlah kira-kira RM16,000 dan ujian saringan air kencing mereka didapati negatif penyalahgunaan dadah.

Tambahnya, pasangan suami isteri itu juga tiada rekod lampau berkaitan jenayah atau dadah.

Menurut Jin Lai, keempat-empat suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE