Dalam operasi serentak pukul 3.55 pagi hingga 4.10 pagi itu, polis turut menahan tiga lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30 sehingga 34 tahun dipercayai ahli kepada sebuah sindiket dadah yang sama.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, serbuan pertama dilakukan di Kampung Derdap, Limbat di sini membawa kepada penemuan 80.7 kilogram dadah jenis syabu yang disorok dalam 49 bungkusan teh cina.

“Dalam serbuan itu, kita menahan seorang lelaki berusia 34 tahun selain turut merampas sebanyak 5,700 pil Erimin 5, 2,000 pil jenis Yaba dan 167 pil jenis ekstasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Yang turut hadir,  Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat.

Menurut Hasanuddin, serbuan kedua di Kampung Kepah, Pasir Mas pula membawa kepada penemuan 467.7 gram dadah jenis syabu dan penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun.

“Serbuan ketiga di satu lagi lokasi di Kampung Derdap, Limbat pula tidak melibatkan sebarang rampasan dadah namun kita berjaya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun disyaki ahli sindiket.

“Selain dadah, polis turut menyita dua Perodua Myvi, sebuah Proton Satria, sebuah motosikal Yamaha LC 125Z dan wang tunai berjumlah RM5, 900,” katanya.

Menurut beliau, dadah berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan serta Lembah Klang dan dianggarkan untuk kegunaan sehingga 412,867 individu.

Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE