Dalam operasi itu, polis menahan lima lelaki warganegara India dan seorang lelaki tempatan berusia antara 21 tahun hingga 40 tahun.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pada mulanya, polis menahan lelaki warga tempatan berusia 21 tahun itu dan seorang warga India berusia 30 tahun di Rantau yang didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Susulan itu, katanya, polis telah menyerbu sebuah premis terletak bersebelahan kandang kambing yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah dalam sebuah ladang sawit di Linggi.

“Polis menemukan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu, cecair dan serbuk kimia serta peralatan yang digunakan untuk memproses dadah tersebut.

“Seramai empat lelaki warga India telah ditahan di lokasi itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Risikan/Operasi JSJN, Datuk Kang Chez Chiang dan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop.

Mohamad menambah, pasukan polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Port Dickson dan menemukan barangan yang sama seperti premis pertama.

Menurutnya, secara keseluruhannya, polis telah merampas 5 kilogram (kg) ketulan kristal disyaki syabu, cecair meth oil (45 kg), serbuk bahan kimia (50 kg), ketuhar, balang kaca dan dapur.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah ialah kira-kira RM2.4 juta,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE