Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Md. Asri A. Wahab berkata, rampasan berkenaan dijalankan oleh Jabatan Kastam Malaysia (JKDM).

“Rampasan dan siasatan dijalankan oleh JKDM, oleh itu kami hanya mengesahkan ada satu laporan polis di Balai Polis Jeram, Kuala Selangor dibuat berhubung rampasan ini,” katanya memetik portal Free Malaysia Today dalam kenyataan di sini.

Difahamkan menerusi serbuan itu, JKDM telah menemukan 11 guni putih mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 500kilogram di premis berkenaan.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 23,230 ketulan mampat mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain dengan berat dianggarkan mencecah 3,230kg.

Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai kira-kira RM676 juta.

Sementara itu, jurucakap JKDM ketika dihubungi enggan mengulas lanjut penemuan dadah berkenaan dan memaklumkan satu sidang media akan diadakan berhubung kes tersebut. - UTUSAN ONLINE