Turut dirampas ialah dadah jenis syabu seberat 10.3 kilogram, ketamin (56 gram), ganja (7.9 gram), serta 10 biji pil erimin 5 dan 42 biji pil ekstasi yang ke­semuanya bernilai RM721,000.

Selain itu, polis juga menyita lapan kenderaan, wang tunai RM2.1 juta dan barangan kemas. Jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan RM2.73 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, wang tunai bernilai RM2.1 juta ditemukan dalam serbuan di sebuah kondominium di Sri Petaling, dekat sini.

Menurutnya, dalam serbuan di Jalan Usahawan, Setapak di sini, pihaknya menahan seorang anggota polis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket.

“Hasil pemeriksaan di rumah anggota polis tersebut, kita turut merampas 50 butir peluru jenis 9mm,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim di Balai Polis Travers di sini hari ini.

Ujar Mohmad, sindiket itu dipercayai aktif dalam aktiviti pengedaran dadah dan nilai rampasan dadah dalam serbuan tersebut dianggarkan mampu menampung penggunaan seba­nyak 51,810 penagih dadah.

“Semua suspek berusia di antara 32 dan 58 tahun direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.