Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam operasi bersepadu itu, dua bot laju dan sebuah bot jenis jongkong ditahan kerana membawa muatan barang kawalan iaitu empat tong gas jenama Petronas, dua tong gas jenama MyGaz dan 120 kilogram gula jenama Prai.

Ujarnya, hasil pemeriksaan terhadap dua juragan tempatan dan juragan warga Indonesia mereka gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada pihak KPDNHEP atas kesemua barang kawalan yang dibawanya.

“Kesemua juragan berusia 33 hingga 63 tahun yang ditahan bersama bot dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM68,260 dan Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohamad Pajeri, dalam operasi yang sama, seorang wanita Filipina berumur 28 tahun ditahan kerana disyaki seorang menagih dan mengedar dadah.

“Wanita tersebut dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah untuk siasatan lanjut,” jelasnya.-BERNAMA