Dalam operasi kira-kira pukul 4 petang itu, anggota PGA berjaya menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki membawa 120 guni pakaian terpakai dengan menggunakan dua lori.

Difahamkan, jarak antara lokasi tangkapan dan sempadan Malaysia-Indonesia adalah kira-kira 200 meter.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 11, Superintenden Rosdi Inai berkata, kejayaan operasi itu merupakan hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan pihaknya sebelum ini.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang berusia 20 hingga 40 tahun ditahan setelah gagal menunjukkan sebarang dokumen sah mengenai muatan pakaian terpakai tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 120 guni berisi pakaian terpakai disembunyikan di bahagian belakang dua lori berkenaan.

“Kesemua rampasan kemudian disita sebelum diserahkan kepada pihak kastam untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat PGA Sarawak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rosdi memberitahu, pihaknya percaya pakaian terpakai terbabit mahu diseludup ke negara jiran.

Katanya, anggaran nilai rampasan kesemua barangan termasuk dua lori adalah RM190,000.

“Ketiga-tiga suspek akan direman hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE