Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Hafiezal Jalani, 30, selepas dia mengaku bersalah telah melakukan pencerobohan ke dalam sebuah bilik rumah inap desa milik seorang suri rumah Nauwal Muthiah Mohamad, 30, tanpa izin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Zam Zam Homestay, No. 1, Jalan 1, Kampung Perwira Jaya, Ampang Jaya, dekat sini pada pukul 4.15 petang, 8 Oktober lalu.

Dia yang masih bujang itu didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim memohon hukuman setimpal namun Mohd. Hafiezal yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM1,200 sebulan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa telah pergi ke rumah inap desa tersebut untuk mengemas  kerana ada penyewa yang mahu masuk ke rumah itu pada keesokannya.

Pada pukul 4.15 petang, mangsa sedang mengemas rumah inap desa itu di bahagian bawah dan ternampak tertuduh memakai baju T berwarna kelabu berseluar jeans biru keluar dari pintu rumah yang tidak berkunci.

Mangsa kemudian menegur dan bertanya kepada tertuduh apa yang dia lakukan di sini, tertuduh menjawab hanya mahu mencari rumah sewa dan tidak membuat apa-apa.

Mangsa kemudiannya masuk ke rumah itu  semula dan menutup pintu rumah kerana bimbang akan keselamatannya. Wanita itu kemudian menghubungi adik lelakinya untuk memberitahu mengenai tertuduh.

Berikutan itu, adik mangsa telah membuat laporan polis. - UTUSAN ONLINE